
Ramai
menyangkakan persekitaran atau cara hidup yang tidak mengutamakan
kebersihan sebagai penyebab terjadinya jangkitan atau kegatalan kulit.
Namun, hakikatnya, persekitaran yang terlalu bersih juga boleh
menyebabkan jangkitan, kegatalan atau alahan kepada kulit.
Penyakit
ekzema, kegatalan atau radang kulit misalnya, lebih banyak ditemui di
negara maju, yang kebiasaan rakyatnya mengambil berat mengenai
kebersihan. Bilangan penghidap ekzema yang tinggi dicatatkan di negara
maju sejak tiga dekad yang lalu. “Ia barangkali disebabkan persekitaran
terlalu bersih di negara maju hingga membuatkan sistem imun badan
seseorang itu malas, seterusnya tidak dapat membezakan antara unsur baik
ataupun jahat.
“Sistem
imun yang malas ini akan bertindak balas dengan setiap bakteria yang
ada hingga membuatkan seseorang terlampau sensitif dan mudah mendapat
alahan,” kata Perunding Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur
(HKL), Dr Leong Kin Fon.
Beliau berkata demikian pada majlis
pelancaran kempen menentang ekzema di Malaysia,‘United Against Itch’,
anjuran LEO Pharma baru-baru ini.
LEO Pharma, sebuah syarikat
farmaseutikal berasaskan penyelidikan dari Denmark bekerjasama dengan
doktor tempatan dan antarabangsa untuk menentang ekzema, penyakit kulit
yang dihidapi dua daripada 10 rakyat Malaysia, namun boleh dirawat.
Pengurus (Negara) LEO Pharma, Tan Keng Aun berkata, kerjasama yang
dijalinkan ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai ekzema
serta memberitahu masyarakat bahawa ada harapan untuk penghidapnya
mengawal penyakit ini.
Mengulas lanjut masalah ekzema, Dr Leong
berkata, berdasarkan pemantauan penyelidik, ada kaitan antara kebanyakan
pesakit ekzema dengan tahap pembangunan negara. Sebagai contoh, di
Malaysia, sejumlah 12.6 peratus penghidap ekzema adalah murid sekolah
berbanding Indonesia, kira-kira 3.7 peratus. Fenomena ini turut dilihat
di bahagian Malaysia Timur yang mana kadar penghidapnya lebih rendah
jika dibandingkan dengan Semenanjung.
Dr Leong berkata, antara
ciri ekzema adalah kegatalan kulit yang membuatkan pesakit sentiasa
ingin menggaru. Kulit penghidap ekzema juga sangat kering kerana tiada
lapisan yang menahan cecair daripada dalam kulit. Malah, ada interaksi
dinamik antara genetik dan persekitaran sebagai pencetus penyakit ekzema
selain faktor tabiat gatal dan menggaru, cuaca panas, kering, peluh,
bakteria, sabun atau pencuci yang mengeringkan kulit, alahan makanan dan
hama.
“Seseorang juga boleh menghidap ekzema kerana faktor genetik atau immunologik serta kecenderungan pembiakan mikrob,” katanya.
Kulit
pesakit ekzema biasanya sangat gatal, kemerahan dan kadangkala melepuh
ketika mengalami serangan. Akibat kerap menggaru, kulit bukan saja
semakin rosak, tetapi membolehkan bakteria Staphylococcus aureus (S.
aureus) yang 95 peratus ada pada kulit penghidap ekzema atopik
(permukaan), berjangkit dan membiak. Akibatnya, kulit bukan saja lebih
berisiko menjadi kering dan rapuh, tetapi ia juga semakin sensitif
kepada impak bahan kimia atau elemen lain yang menimbulkan alahan.
“Apabila
bakteria memasuki bahagian kulit yang renggang dan rosak kerana digaru,
resapan toksin membuatkan kulit terus membengkak dan kegatalan yang
teramat. Jangkitan ini memperlahankan lagi penyembuhan penyakit ini.
Lama-kelamaan, kulit semakin bersisik tebal dan berkerak,” katanya.
Mereka yang mengalami ekzema sering terbelenggu dalam kitaran gatal dan
desakan untuk menggaru bagi suatu tempoh yang lama. Bagi merawat
penyakit ini, kitaran ini harus diputuskan.
Dr Leong berkata,
ekzema boleh dikawal dengan penggunaan ubat yang dapat membantu
memecahkan kitaran gatal-garu, memberikan kelegaan pantas daripada
kegatalan, malah menghilangkan kelepuhan kulit dengan lebih baik. Beliau
juga lebih mengutamakan aspek konsultasi bersama ibu bapa atau penjaga
kanak-kanak bagi memberi mereka pemahaman yang sewajarnya mengenai
penyakit ini.
“Kaedah yang boleh diamalkan bagi mengawal ekzema
adalah dengan menyeimbangkan faktor pencetus serangan ekzema. “Penyakit
ini tidak dapat dipulihkan, maka kawalan atau pengurusan yang baik
diharap dapat mengurangkan atau memendekkan tempoh serangan, sekali gus
menjadikan kanak-kanak yang lebih gembira,” kata beliau.
Perunding
Dermatologi di Hospital Hammersmith, United Kingdom, Prof Anthony Chu,
berkata ekzema bukan sekadar masalah penghidapnya semata-mata, tetapi
turut memberi kesan kepada persekitaran dan kehidupan keluarga itu,
termasuk waktu tidur mereka. Ini disebabkan anak kecil yang menderita
ekzema kerap menangis dan sukar tidur dan sekali gus turut menjejaskan
perkembangan fizikal mereka.
“Apa yang penting, ibu bapa, penjaga
dan keluarga kanak-kanak perlu cekal menguruskan anak yang menghidap
ekzema. Secara semula jadinya, penyakit ini akan beransur hilang apabila
kanak-kanak itu menginjak dewasa.
“Majoriti pesakit menghidapnya
sebelum mencecah usia lima tahun dan 50 peratus daripadanya pula pulih
apabila mencapai usia 10 tahun. Jarang pesakit terus menghidap ekzema
dari kecil hingga dewasa,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan
supaya ibu, bapa dan penjaga saling membantu dalam menguruskan anak yang
menghidap ekzema dan mencari kaedah paling sesuai bagi mengurangkan
ketidakselesaan yang ditanggung anak mereka.
“Dari segi
pengambilan ubat pula, ramai ibu bapa yang agak keberatan apabila
diberitahu anak mereka perlu diberikan ubat yang mengandungi steroid
kerana bimbangkan kesan sampingannya.
“Tanggapan begitu
sewajarnya diubah. Sapuan ubat steroid dapat membantu mengawal penyakit
ini dengan baik, dengan syarat ia digunakan dengan betul berdasarkan
nasihat pakar.
“Selain itu, ibu bapa juga perlu berwaspada dalam
memilih ubat. Walaupun ubat yang mungkin menjadi pilihan mereka itu
berasaskan herba, tidak bermakna ia selamat diambil,” kata beliau.
Sementara
itu, Pengurus (Negara) LEO Pharma, Tan Keng Aun berkata, kerjasama yang
dijalinkan ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai ekzema
serta memberitahu masyarakat bahawa ada harapan untuk penghidapnya
mengawal penyakit ini.
INFO:
Rawatan konvensional untuk ekzema
- Mandi setiap hari dengan produk mandian yang lembut dan merawat kulit kering
- Gunakan pelembap pada kulit
- Sapu ubat sapu yang mengandungi steroid atau ubat sapu penghalang calcineurin
- Sapu antibiotik
- Penggunaan sedatif antihistamin
Bagaimana untuk mengurangkan kitaran gatal-garu?
- Pastikan kuku pesakit sentiasa pendek
- Gunakan balutan tuala basah untuk anak kecil
- Sedatif antihistamin
- Sapuan dengan krim emolien
- Gunakan tuala sejuk untuk mengelak daripada menggaru
- Sokongan psikologi
Sekian sahaja perkongsian saya bersama sahabat semua. :)
Sumber diambil dari sini: