Wednesday, September 3, 2014

Tips: Menarik Minat Anak Untuk Makan


Assalamualaikum.

Saya percaya, ramai ibu-ibu diluar sana yang menghadapi masalah anak cerewet memilih makanan. Jika cerewet boleh tahan lagi.. ini ada juga yang langsung tak nak makan. Penat-penat kita masak macam-macam nak tarik perhatian anak supaya makan, alih-alih dia tak nak makan pulak. Memang stresssss la dibuatnya. :D

Seringkali hal-hal macam ni menjadi satu kerunsingan buat ibu-ibu. Kalau dibiarkan tak makan, takut perut masuk angin pulak nanti. Bila perut masuk angin, nanti entah macam-macam pulak sakit yang datang. Memang serba salah dibuatnya. Bukannya ibu tak nak bagi makan, tapi si anak yang memang tak nak makan. Hanya yang pernah merasai masalah ini aje yang boleh faham betapa sukarnya keadaan ini.



Anak-anak ni, kalau makanan ringan, aiskrim dan gula-gula tu semua tak payah suruh makan pun diorang pandai sendiri nak makan. Lumrah kanak-kanak memang suka benda-benda yang manis dan rasa masin-masin tu. Sampai satu tahap, ibu-ibu ni memaksa anak-anak makan apa yang dah dimasak. Dari segi psikologinya memang tak bagus bila kita paksa-paksa anak makan. Adalah lebih baik jika kita menggunakan cara yang lebih lembut dan kreatif bagi menangani masalah anak tak nak makan ni.

Ayuh kita sama-sama pelajari apakah teknik yang boleh kita gunakan untuk menarik minat anak-anak yang susah makan ini?



1. Sediakan Makanan Dalam Kuantiti Yang Kecil

Kanak-kanak perutnya masih kecil, jadi sediakan makanan dalam kuantiti yang sedikit-sedikit supaya mereka mampu menghabiskan makanan tanpa rasa terpaksa atau makanan dibazirkan kerana tak habis.


2. Pelbagaikan Atau Variasikan Makanan

Dalam setiap hidangan makanan, sediakan pelbagai jenis makanan dengan pelbagai rasa dan warna. Ini membuatkan makanan nampak menarik dan anak rasa tertarik hati untuk explore ataupun cuba menikmati tekstur dan rasa makanan.




3. Sajikan Dalam Bentuk Yang Menarik Dan Kreatif!

Menggunakan kreativiti untuk menghasilkan rupa dan bentuk makanan dapat meningkat selera dan minat anak untuk makan. Contohnya sandwich yang dibuat kepada bentuk teddy bear, nasi kepal yang dihias kepada bentuk muka, sosej yang dipotong dan dijadikan kepada rupa sotong kurita dan sebagainya. Ini dapat menarik minat anak-anak sebab sukakan rupa makanan tersebut. Menyediakan makanan dalam bentuk bento untuk anak-anak dah jadi trend pada masa ni.

4. Jadikan Waktu Makan Adalah Selesa Dan Menyenangkan

Sediakan mood dan suasana yang sesuai supaya anak dapat fokus terhadap aktiviti makan. Tutup tv atau media hiburan yang berbunyi kuat, simpan mainan kegemaran, buka kipas dan lampu jika perlu supaya anak rasa selesa untuk makan.

5. Makan Secara Teratur Mengikut Jadual

Susun jadual makan anak-anak misalnya bilakah waktu makan yang utama, waktu makan sampingan, waktu mandi, waktu tidur dan sebagainya. Jadi anda boleh sediakan makanan mengikut aktiviti dan tenaga yang anak perlukan. Makan sewaktu anak dah hampir mengantuk sebab dah tiba waktu tidur misalnya mungkin menyebabkan anak tak berminat nak makan. 

6. Beri Makanan Ringan Yang Menyihatkan

Elakkan memberi makanan ringan yang rapu seperti makanan yang banyak pewarna, perasa dan tinggi garam terutamanya untuk anak yang berusia bawah 2 tahun. Ini kerana bila anak dah biasa makan makanan yang tak berkhasiat dengan rasa yang kuat, mereka secara automatik hilang minat untuk makan makanan seperti nasi, sayuran dan buahan yang lebih menyihatkan. Sebab bagi mereka makanan macam ni tak sedap. Tapi, biasakan bagi makanan ringan seperti potongan buah-buahan, yogurt, bijirin, biskut tawar, jus buah dan sebagainya.

 



7. Elakkan Memaksa Dan Mengugut Anak

Memberi tekanan dan paksaan kepada anak untuk habiskan makanan hanya akan memburukkan lagi keadaan. Anak mungkin akan mengamuk dan mengalami tekanan perasaan yang seterusnya melambatkan lagi proses menghabiskan makanan. Anda juga mungkin akan lebih tertekan sebab terpaksa berdrama dengan anak. Jika berterusan, waktu makan akan menjadi waktu yang dibenci oleh anak.


 



8. Libatkan Anak Ketika Aktiviti Menyediakan Makanan

Libatkan anak ketika menyediakan hidangan sebelum waktu makan. Anda boleh meminta pendapat anak bagaimana dia hendak menghias makanannya sendiri dan sebagainya. Anda boleh berikan pujian dan bercerita tentang khasiat makanan sepanjang proses menyediakan makanan. Secara tak langsung anak rasa dihargai dan teruja untuk makan makanan yang dia sediakan sendiri.

9. Beri Ganjaran Kepada Anak Sekiranya Dia Berjaya Habiskan Makanan

Anda boleh guna kaedah reward contohnya kalau anak dapat habiskan makanan, anda akan bacakan buku cerita kegemarannya selepas tu. Dengan cara ni, anak akan lebih bekerjasama dan rasa lebih bermotivasi untuk menghabiskan makanan dia sebab tak sabar nak dapat hadiah!

10. Elakkan Memberi Minuman Berkali-kali Ketika Waktu Makan

Bila anak tengah makan, elakkan memberi minuman dengan kerap atau banyak. Kalau minuman tu sangat menarik bagi anak, sembunyikan dulu dan sediakan air kosong saja. Sebab bila anak dah terlalu banyak minum air dia akan cepat kenyang dan tak dapat nak habiskan makanannya.

Dalam usaha kita nak mengikut rentak anak-anak ni bukan la susah sangat sebenarnya. Apa yang paling penting, kita sebagai ibubapa harus bijak menangani masalah yang dicipta oleh anak-anak. Jadi ibubapa zaman sekarang ni, kena rajin dan sentiasa mencari jalan untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak tersayang. Kalau guna cara yang betul dan banyak main psikologi dengan anak-anak, perkara yang susah pun boleh jadi mudah. Namun begitu, bagi kanak-kanak yang berusia setahun ke atas mungkin ibubapa boleh ikhtiarkan untuk memberi makanan tambahan yang terbaik buat si manja anda. Apa yang paling penting adalah anak-anak mendapat cukup zat untuk menampung keperluan harian mereka. Selamat mencuba!
 

0 comments: